Thursday, 28 January 2016

Khasiat Pokok Misai Kucing

Pokok misai kucing rawat buah pinggang 
Nama saintifiknya Orthosiphon stamineus daripada keluarga Lamiaceae. Ia adalah sejenis pokok renek yang banyak terdapat di negara-negara Asia Tenggara. Pokok ini menjadi bahan penting yang digunakan dalam perubatan tradisional.

Herba misai kucing digunakan sejak beratus-ratus tahun dulu oleh pengamal perubatan tradisional untuk merawat penyakit berkaitan pundi kencing (seperti batu karang) dan buah pinggang,

Tanaman herba ini boleh ditanam di atas tanah mineral atau tanah gambut, tetapi lebih baik sekiranya diusahakan di atas tanah subur yang mempunyai saliran baik. Tumbuhan ini mudah tumbuh dengan pembiakan melalui biji benih. Herba ini cepat tumbuh dan ketinggiannya boleh mencapai sehingga 1.5 meter. 

Batangnya bersegi empat, berbulu pendek dan bercabang. Daunnya tersusun dalam pasangan yang bertentangan, licin, berwarna hijau, berbentuk tirus di hujung dan tepi daun berjeriji. Tangkai daun pendek, lebih kurang 0.3 meter panjang dan berwarna ungu kemerahan. 

Di negara ini, dua varieti dikenal pasti berdasarkan warna bunga iaitu bunga putih dan bunga ungu tua. Varieti bunga putih dikenali sebagai MOS 1, manakala varieti warna ungu dikenali sebagai MOS 2. Terdapat perbezaan pertumbuhan antara dua varieti ini. MOS 1 mempunyai kanopi lebih besar, tinggi dan pertumbuhan yang lebih subur. Ia juga mempunyai kadar pertumbuhan ranting lebih banyak dan cepat berbanding MOS 2. 

Untuk pertumbuhan yang baik, purata hujan bulanan yang diperlukan ialah 180 hingga 200cm. Pengairan hendaklah diberi pada musim kering. Pokok misai kucing yang mengalami kekurangan air akan menghasilkan daun kecil, rapuh dan keras. Berbanding dengan tanaman lain, misai kucing didapati tahan terhadap air bertakung. Pertumbuhan pokok didapati tidak terjejas walaupun mengalami air bertakung selama 24 jam. Tanaman ini memerlukan kawasan yang lembap untuk pertumbuhan vegetatif yang maksimum. - SUMBER

Antara lain khasiat pokok misai kucing :
Mencuci darah dari toksid, melegakan kekejangan otot dalam dinding organ dalaman, mengurangkan kolestrol dan tekanan darah tinggi serta kencing manis.

No comments:

Post a Comment