Wednesday, 17 August 2016

Alamak Tikar Beracun?

Saya terkesima sekejap membaca ulasan akhbar tempatan yang menyeru orang ramai berhati-hati dengan tikar beracun. Tikar murah yang banyak di pasaran telah dikatakan mengandungi bahan kimia beracun seperti Bisphenol A (BPA) dan Phtalates.[1] Kedua-dua bahan ini dikaitkan dengan penyebab kanser dan penyakit kegemukan serta kencing manis di kalangan kanak-kanak.

Terlintas juga dalam benak minda ini, anak-anak saya obese mungkin akibat tikar beracun ini? Tetapi tak mungkin sebab mereka bukannya makan tikar tu. Kami menggunakan sekali sekali apabila bersenda mesra piknik di tepi pantai. Mohon dijauhkan bahaya pada masa depan agar anak-anak saya tidak dihinggapi penyakit kanser.

Saya buat sedikit carian melalui rujukan yang berautoriti seperti PubMed, NIH, WHO dan FDA.[2,3] Rupa-rupanya terdapat beberapa buah negara yang melarang penggunaan pembungkusan makanan seperti bekas air, bekas makanan dan botol susu bayi yang mengandungi BPA/phtalates. Negara kita juga pernah (2012) membuat larangan yang sama, melarang penjualan botol yang mengandungi bahan tersebut.[4] Namun tiada pula larangan ke atas penjualan yang berbentuk tikar atau peralatan rumah lain. Mungkin juga pada masa tersebut masih belum ada lagi di pasaran bahan berkenaan yang dijadikan bahan asas dalam pembuatan tikar plastik.

Dari sudut kajian sains perubatan, kedua-dua bahan tersebut masih belum terbukti secara sahih boleh mengakibatkan kanser atau ganguan sistem endokrin manusia (yang menyebabkan kegemukan dan kencing manis).

Terdapat beberapa kajian yang dilakukan di Kanada, Eropah dan Jepun yang cuba mengaitkan risiko kanser serta gangguan endokrin, tetapi semua kajian berkenaan tidak dapat membuktikan dakwaan (inconclusive). Tambahan lagi, kajian tersebut dilakukan ke atas tikus dengan kaedah memberi bahan BPA/Phthalates secara terus. Dan hasil kajian yang mereka kemukakan adalah: Kajian lanjut diperlukan dan mengambil masa yang lebih lama bagi membuktikan teori seperti yang didakwa. In bermakna tiada pertalian terus antara BPA/P dengan kejadian penyakit kanser, kegemukan dan kencing manis apabila kita menggunakan tikar atau alatan rumah berkenaan.

Cuma, para pengkaji berandaian risiko kejadian mungkin berlaku jika sekiranya mengambil BPA/P secara oral (melalui bekas yang digunakan). Oleh yang demikian, beberapa buah negara termasuk Malaysia juga mengharamkan botol BPA.

"Semoga Bermanfaat"

Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
fb.com/drsuhazeli
‪#‎MedicalMysthBustersMalaysia‬
‪#‎MedTweetMY‬
16.8.16

Rujukan silang:
[1] Laporan akhbar. https://pixelperfext.blogspot.my/…/alamak-tikar-beracun.html
[2] Phtalates. https://toxtown.nlm.nih.gov/text_version/chemicals.php?id=24
[3] Bisphenol A. http://www.who.int/…/fs_mana…/No_05_Bisphenol_A_Nov09_en.pdf
[4] Malaysia melarang guna BPA. http://www.thestar.com.my/…/2…/03/01/bpa-bottles-now-banned/

No comments:

Post a Comment