Tuesday 22 October 2013

Amalan Yang Dibawa Selepas Mati

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Apabila seorang manusia mati, putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) Kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Hadith Sahih - Riwayat Imam Ahmad)

Pertama "Sedekah jariah" ialah harta benda yang diwaqafkan kerana Allah Taala, seperti: 
(1) Mewaqafkan sebuah kebun bersama hasil tanamannya untuk kebajikan umum. Atau mewaqafkan sebidang tanah untuk menjadi tapak masjid, surau, rumah anak yatim, madrasah, sekolah dan sebagainya. 

(2) Mendirikan - atau berkhairat ala kadarnya untuk mendirikan masjid surau, rumah anak yatim, madrasah, sekolah dan sebagainya. 

(3) Mendirikan rumah waqaf untuk kaum kerabat sahaja atau umum untuk orang-orang miskin yang memerlukan tempat berteduh atau untuk disewakan dan hasilnya dikhairatkan untuk kebajikan umum. 

(4) Mendirikan rumah "musafir khanah" untuk persinggahan orang-orang musafir yang memerlukannya. 

(5) Dan lain-lain lagi yang termasuk dalam amalan yang diredhai Allah seperti mendirikan hospital dan kutub khanah, mencetak al-Qur'an dan kitab-kitab Islam serta buku-buku pengetahuan yang berguna dan sebagainya. 

Amalan "waqaf" dalam Islam ini telah bermula semenjak zaman Rasulullah s.a.w. dan telah berkembang di negara-negara Islam hingga hari ini dan seterusnya, malah ada yang datang membentuk "Kementerian Waqaf di negara masing-masing. 

Selagi harta benda yang diwaqafkan itu masih wujud dan dinikmati faedahnya olah umum maka tuan punya harta itu akan mendapat pahalanya berterusan semasa ia hidup dan sesudah ia mati. 

Kedua: "Ilmu yang berguna atau bermanfaat kepada orang lain," yang tersebut dalam hadith ini ialah ilmu yang berhubung dengan agama Islam secara khusus dan juga yang berhubung dengan kemajuan di dunia secara umum, sama ada melalui syarahannya kepada murid-muridnya dan orang ramai, atau melalui kitab-kitab dan buku-buku karangannya. 

Selagi ilmu yang diajarkannya atau kitab-kitab dan buku-buku karangannya masih wujud dan dinikmati faedahnya oleh umum maka ia akan mendapat pahalanya berterusan semasa ia hidup dan sesudah ia mati. 

Ketiga: "Anaknya yang soleh yang berdoa untuknya" Doa anak kepada kedua ibu bapanya, sama ada anak itu orang yang soleh atau sebaliknya adalah baik dan berguna. Tetapi doa anak yang soleh lebih diharap tentang makbulnya. 

Sebab itulah Rasulullah s.a.w. menarik perhatian tentang kelebihan anak yang soleh dalam hadithnya ini, supaya ibu bapa mendidik anak-anak masing-masing dengan sebaik-baiknya sehingga anak itu menjadi orang yang berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. Serentak dengan itu kedua ibu bapa akan mendapat rahmat disebabkan usahanya mendidik anak-anaknya dengan sebaik-baiknya dan mendapat rahmat pula disebabkan doa anaknya yang soleh itu.

HURAIAN HADIS SEDEKAH JARIAH 
 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ 

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila seseorang itu meninggal dunia maka terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh mendoakan untuknya.[1] 

Hadis ini termasuk di bawah makna ayat 39 surah al-Najm, iaitu bagi menegaskan bahawa manusia mesti berusaha untuk dirinya. Hadis ini juga sebagai perincian kepada ayat tersebut supaya manusia melakukan amalan yang pahalanya tidak terputus selepas meninggal dunia. 

Rasulullah s.a.w. menunjukkan tiga bentuk amalan yang menjamin pahala yang terus menerus diperolehi walaupun setelah meninggal dunia. Tiga perkara ini adalah amalan seseorang itu sendiri bukan amalan orang lain. 

Pada asalnya apabila seseorang itu meninggal dunia, catatan amalan ditutup kecuali tiga perkara ini sahaja yang pernah dilakukannya semasa masih lagi hidup. Walaupun orang lain yang beramal dia turut sama memperolehi ganjaran pahala. Ini kerana, dia mempunyai peranan dalam amalan yang dilakukan oleh orang lain. 

Hakikat ini diperjelaskan lagi oleh hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah: 
 عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي قَتَادَةَ عَنْ أَبِيهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرُ مَا يُخَلِّفُ الرَّجُلُ مِنْ بَعْدِهِ ثَلَاثٌ وَلَدٌ صَالِحٌ يَدْعُو لَهُ وَصَدَقَةٌ تَجْرِي يَبْلُغُهُ أَجْرُهَا وَعِلْمٌ يُعْمَلُ بِهِ مِنْ بَعْدِهِ 

Daripada Abu Qatadah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sebaik-baik perkara yang ditinggalkan oleh seseorang selepas (setelah meninggal dunia) tiga perkara: anak soleh yang berdoa untuknya, sedekah yang berkekalan yang menyampaikan pahalanya kepadanya dan ilmu yang diamalkan selepasnya.” [2] 

Perkara pertama yang disebutkan dalam hadis pertama ialah sedekah jariah iaitu sedekah yang berterusan dan berkekalan manfaatnya untuk masyarakat umum. 

Semasa hidup di dunia si mati melakukan amalan tertentu yang dia tetap memperolehi pahala walaupun dia telah meninggal dunia seperti mendirikan masjid, sekolah dan menggali telaga. 

Begitu juga amalan-amalan lain yang terus menerus mendatangkan manfaat kepada orang lain seperti membina hospital, membina jambatan, mewakafkan buku-buku agama dan sebagainya. Jika seseorang itu tidak berkesempatan melakukan kebajikan dalam bentuk tersebut semasa hidup dan dia mewasiatkan kepada warisnya supaya mengambil hartanya untuk membina sekolah agama, pusat jagaan anak-anak yatim dan lain-lain maka ini juga termasuk dalam kategori sedekah jariah. 

Dari segi fiqh ia lebih dikenali dengan wasiat iaitu sesuatu muamalah harta yang berkait dengan kematian seseorang dan berkuatkuasa dengan meninggalnya orang yang mewasiatkan. Apa yang penting si mati mempunyai niat, kehendak dan usaha untuk beramal soleh. Dalam masalah wasiat, si mati sememangnya mempunyai niat dan niat itu sendiri merupakan asas kepada amalannya. Harta diwasiat pula hartanya, maka sewajarnya dia tetap mendapat pahala daripadanya. 

Sebaliknya jika si mati langsung tidak mempunyai kehendak dan niat semasa di dunia dan tidak pernah berdetak di hati untuk bersedekah lalu dia meninggal dunia kemudian orang lain bersedekah untuknya maka ini tidak dipanggil sedekah jariah yang dilakukannya tetapi dilakukan oleh orang lain. Dengan itu, tidak mungkin dia memperolehi bahagian pahala daripada sedekah itu. Tegasnya, peranan dan penglibatan seseorang dalam apa-apa amalan amatlah penting dan niat menjadi syarat kepada penerimaan amalan. 

Bukankah Rasulullah s.a.w. menegaskan: إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى “Sesungguhnya amalan-amalan itu dikira dengan niat dan setiap orang memperolehi apa yang dia niatkan.”[3] (al-Bukhari, no: 1) 

Pandangan ini berasaskan kepada ayat-ayat al-Qur`an yang telah kita bincangkan sebelum ini iaitu balasan amalan mengikut amalan sendiri dan manusia hanya memperolehi apa yang diusahakannya. 

Perkara yang kedua yang disebutkan oleh hadis ini ialah ilmu yang bermanfaat
Ilmu dipelajari oleh seseorang kemudian disebarkan dan diajarkan kepada orang lain yang mendapat faedah duniawi atau ukhrawi. Dengan cara ini, pahala orang yang mengamalkan ilmu yang diajarkannya juga diperolehinya tanpa mengurangkan pahala orang yang melakukannya. 

Imam Ibn Majah mengemukakan sebuah riwayat: 
 عَنْ سَهْلِ بْنِ مُعَاذِ بْنِ أَنَسٍ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ عَلَّمَ عِلْمًا فَلَهُ أَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهِ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الْعَامِلِ 

Daripada Sahl bin Mu’az bin Anas daripada ayahnya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang mengajarkan satu ilmu maka dia memperolehi ganjaran pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan sedikitpun pahala orang yang melakukannya.”[4] 

Perkara ketiga yang disebutkan oleh hadis ialah anak si mati yang soleh yang mendoakan untuknya. 
Si mati mendidik anaknya dengan didikan Islam dan akhlak mulia sehingga dia membesar dalam ketaatan kepada Allah dan berbakti kepada ibu bapanya. Apa yang diajarkan oleh si bapa itulah yang diamalkan dan menjadi amalan si anak. Ini menyambungkan lagi suratan amalan si mati. Setiap amalan soleh yang dilakukan anak tetap dikira sebagai pahala buat ibu bapanya yang mendidiknya. 

Oleh kerana usaha mendidik dan membesarkan anaknya, ibu bapa akan terus mendapat pahala selepas meninggal dunia. Anak tidak perlu meniatkan apa-apa pahala untuk ibu bapanya kerana amalannya itu akan dikira sebagai dalam catatannya dan tidak disyariatkan pula menghadiahkan pahala untuk si mati. Tambahan pula, terdapat hadis yang menyokong perkara ini: 
 عَنْ عَائِشَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ وَلَدُ الرَّجُلِ مِنْ كَسْبِه 

Diriwayatkan daripada ‘Aishah daripada Rasulullah s.a.w. bahawa baginda bersabda: “Anak seseorang itu termasuk dalam usahanya.”[5] 

Kesimpulan hadis ialah Rasulullah s.a.w. menekankan kepada umatnya supaya memberi perhatian kepada amalan yang menjamin pahala yang berterusan. Baginda menyarankan kita supaya berusaha mencari harta supaya dapat bersedekah dengannya dengan cara terbaik iaitu yang berterusan dan berkekalan. Baginda juga menggalakkan umatnya menuntut ilmu yang bermanfaat dan menyebarkannya dalam apa cara sama ada melalui pengajaran, pembinaan pusat pengajian, penulisan, penerbitan dan lain-lain. 

Akhir sekali baginda menggesa umat ini supaya berkahwin dan memperolehi zuriat yang soleh yang membesar dalam didikan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. 

Disediakan oleh Muhammad Hanief bin Awang Yahaya untuk darulkautsar.net 

[1] Hadis Muslim, Kitab al-Wasiyyah, Bab Ma Yalhaq al-Insan Min al-Thawab, Abu Daud, Kitab al-Wasaya, Bab Ma Ja`a Fi al-Sadaqah ‘An al-Mayyit, al-Tirmizi, Kitab: al-Ahkam ‘An Rasulillah s.a.w. Bab Fi al-Waqf. 

[2] Ibn Majah, Kitab Muqaddimah, Bab Thawab Mu’allim al-Nas al-Khair. 

[3] Al-Bukhari, Bab Kayfa Kana Bad` al-Wahy. 

[4] Ibn Majah, Kitab Muqaddimah, Bab Thawab Mu’allim al-Nas al-Khair. 

[5] Abu Daud, Kitab al-Buyu’, Bab Fi al-Rajul Ya`kul Min Mal Waladih

No comments:

Post a Comment

Artikel Menarik