Tuesday 5 November 2013

Doa Awal dan Akhir Tahun

Ingin menyeru para jemaah dalam persoalan doa awal & akhir tahun, agar diutamakan penerangan & elakkan penghukuman kepada mereka di luar sana yang masih belum jelas & faham. Artikel daripada Felo Fatwa JAKIM & juga merupakan penceramah bulanan di Masjid Asy Syarif Meru Klang, Ust Abu Umair Lokmanulhakim Hussain, ini adalah di antara penerangan yang boleh diusahakan..  Semoga Allah SWT memberikan kefahaman dalam agama kepada sesiapa yang dikhendakiNya kebaikan.

Menjadi kelaziman sebahagian orang Islam, apabila berakhir bulan Zulhijjah yang memberi erti bermulanya tahun baru Hijrah, mereka melakukan satu upacara doa yang dikenali dengan ‘Doa Awal dan Akhir Tahun’. Ia dibaca selepas waktu Asar, atau sebelum Maghrib pada hari terakhir bulan Zulhijjah. Lafaz doanya ‘disunatkan’ dibaca sebanyak tiga kali. Dan dikatakan fadilat doa ini ialah apabila dibaca, maka syaitan akan berkata, “Kesusahan bagiku, dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua”. Disebut juga, dengan membaca doa ini Allah akan mengampunkan dosanya setahun

Begitulah besarnya kelebihan yang disebut-sebut tentang doa awal dan akhir tahun ini. Tidak hairan, ramai yang mempercayainya dengan harapan memperoleh kelebihan itu. Sehingga di sesetengah sekolah, asrama, atau pejabat-pejabat, ia dibaca secara berkumpulan, dengan dipimpin oleh seorang ustaz selaku tekong dalam upacara doa tersebut dan di’amin’kan oleh jemaah. 

Jika diteliti doa awal dan akhir tahun tersebut, diakui bahawa lafaz Arabnya sangat elok, susunan kata-katanya menarik, dan maksud kandungan doa juga tidak bersalahan dengan mana-mana prinsip syarak. Tetapi, oleh kerana doa ini ditetapkan lafaz bacaannya, bilakah waktu dibaca, berapa kali bacaannya diulangi, dan apakah fadilatnya, maka upacara membaca doa ini adalah termasuk dalam bidaah. Kerana bacaan doa ini tidak pernah direkodkan dalam mana-mana kitab hadis muktabar, tidak pernah dinukilkan amalannya di kalangan para sahabat, tabien dan para salaf, dan tidak disebut pun oleh imam-imam yang masyhur. Sedangkan kita tahu doa adalah ibadah. Dan dimaklumi bahawa ibadah bersifat tauqifiyyah iaitu mesti diambil asal dan kaifiatnya daripada syarak. Tetapi, dalam persoalan doa awal dan akhir tahun ini, tidak didapati sebarang asas pun daripada nas-nas syarak. 

Syeikh Bakr Abu Zaid -rahimahullah- menyebut satu kaedah dalam amalan doa, iaitu: Setiap orang yang mengada-ngadakan sesuatu dalam urusan ibadah seperti doa dan zikir dalam bentuk yang ditetapkan dengan menganggap ia adalah satu sunnah, sedangkan ia bukan daripadanya, maka dia dihukum berdosa. Alasannya perbuatan ini adalah satu bentuk meninggalkan perkara yang disyariatkan, satu penambahan terhadap syarak, satu galakan terhadap amalan yang bukan daripada syarak, dan menyebabkan orang awam menyangka bahawa ia suatu yang masyruk. (Tashih Ad-Dua: 44) 

Apabila dikatakan bahawa ia bidaah, pasti ada suara membantah, “Sikit-sikit bidaah, apa salahnya berdoa?”. Ya, berdoa tidak salah. Ibadah doa boleh dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai. Termasuklah berdoa pada tarikh 29 Zulhijjah. Yang salahnya ialah menetapkan bentuknya seolah-olah ia daripada syarak. Ditambah pula dengan fadilat palsu tentang kata-kata syaitan begitu dan begini, dan jaminan pengampunan dosa selama setahun. Ini semua perkara ghaib yang mesti diambil daripada nas-nas sahih. 

Ada juga mengatakan, “Perkara kecil seperti ini pun hendak diperbesar-besarkan?”. Jawapan kepada persoalan ini ialah kata-kata Imam al-Barbahari, “Dan awaslah kamu daripada perkara-perkara kecil yang diada-adakan, kerana bidaah-bidaah kecil akan berulang hingga ia menjadi besar”. Ibn Taimiyyah pula mengatakan, “Bidaah-bidaah pada permulaannya hanya sejengkal. Kemudian ia bercambah di kalangan pengikut-pengikut, hingga menjadi beberapa hasta, beberapa batu dan beberapa farsakh“. (Satu farsakh bersamaan 3 batu). Oleh itu, janganlah dipandang mudah terhadap perkara-perkara kecil yang menyalahi syariat, apatah lagi termasuk dalam bidaah. Dan yakinilah bahawa setiap amalan ibadah yang dilakukan, sedangkan ia bukan daripada agama, maka amalan itu ditolak oleh syarak. 

Wallahu A’lam. - Abu Umair, 28 Zulhijjah 1429

SOAL JAWAB
Soalan : Adakah Nabi s.a.w mula berhijrah pada bulan Muharram seperti difahami oleh kebanyakan masyarakat awam di Malaysia ini? 

Jawapan : Sebenar ahli-ahli sejarah meriwayatkan bahawa baginda s.a.w keluar dari rumah baginda menuju rumah Abu Bakar untuk berhijrah adalah pada bulan Safar. al-Syeikh Al-Mubarakfuri dalam buku sirahnya yang terkenal Al-Rahiq al-Makhtum mencatatkan bahawa pada 27 Safar bersamaan dengan 13 September tahun 622M. Kemudian di Gua Thur. Pada hari pertama Rabiul Awwal bersamaan 16 September barulah baginda bergerak ke Madinah atau yang dikenali dengan nama Yasrib ketika itu. 

Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal bersamaan dengan 23 September barulah baginda sampai ke Quba. Baginda berada selama empat hari di Quba dan mengasaskan Masjid Quba. Kemudian pada hari Jumaat minggu tersebut barulah baginda memasuki Madinah. 

Dengan ini, maka sangkaan sesetengah pihak bahawa Nabi s.a.w berhijrah pada bulan Muharram adalah tidak tepat. Sebaliknya bulan Muharram adalah bulan pertama dalam perkiraan Arab. Maka tahun hijrah dikira bukan kerana Nabi s.a.w berhijrah pada Muharram, tetapi kerana tahun berkenaan berlakunya peristiwa hijrah. Maka tahun peristiwa itu berlaku dikira sebagai tahun pertama. 

Adapun bulan Muharram sememangnya bulan pertama bagi tahun Arab seperti Januari bagi tahun masihi. 

Soalan: Adakah doa-doa khas awal tahun yang dibaca, atau majlis-majlis bacaan khusus sempena awal tahun itu berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w? 

Jawapan: Tidak pernah Rasulullah s.a.w. mengajar lafaz khusus doa bagi awal tahun baru hijrah atau akhir tahun. Apa tidaknya, penentuan tahun hijrah itu sebagai perkiraan kalender kita ditetapkan oleh Amirul Mukminin ‘Umar Ibn al-Khattab bagi memudahkan urusan pentadbiran kaum muslimin. 

Namun secara umum seseorang boleh berdoa dengan apa-apa lafaz dan untuk apa-apa hajat sekalipun. Selagi mana tidak menyanggahi syarak, termasuklah hajat agar tahun yang dimasuki tersebut dilimpahkan kebaikan. Adapun majlis-majlis khusus untuk doa atau zikir khas bagi tahun baru tidak pernah diajar Nabi s.a.w juga para sahabah baginda. Bahkan Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab yang memulakan perkiraan tahun Islam dengan dengan tahun berlakunya hijrah Nabi s.a.w. itu pun tidak pernah mengadakan majlis ibadah khusus yang seperti itu. Tidaklah kita ini lebih tahu mengenai hal ehwal ibadah melebihi Nabi s.a.w. Sebaik-baik petunjuk itu adalah petunjuk Rasulullah s.a.w. 

Soalan: Apakah kita langsung kita tidak boleh mengadakan sebarang majlis pada awal tahun hijrah? 

Jawapan: Sambutan Hijrah ini tidak boleh buat atas asas ianya amalan khas agama ini. Ini kerana kepercayaan sedemikian boleh membawa kepada mengada-adakan perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi s.a.w. dalam soal ibadah atau menokok tambah agama sedangkan baginda bersabda: “Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan agama ini maka dia tertolak” Riwayat Muslim. 

Namun majlis mengingatkan rakyat tentang tahun baru ini -pada pandangan saya- boleh diadakan atas adat negeri atau bangsa dengan tujuan mengingatkan rakyat tentang tarikh baru sesuatu tahun dengan itu lalu membolehkan mereka merancang aktiviti dan menimbulkan semangat kesepakatan serta kesungguhan. 

Perhimpunan menggerakkan semangat pencapaian dan kerja adalah urusan kehidupan yang diboleh syarak selagi tiada dalil tentang keharamannya. Ia bukan ibadah khusus. Di samping itu, seperti mana apabila kita melintasi sesuatu tempat atau negeri kita menyebut tentang sejarahnya, demikian apabila kita melintasi sesuatu tarikh kita menyebut tentang sejarahnya. Sebagai satu pengajaran dan proses pembelajaran. Ia dibolehkan. Namun ibadah yang khusus sempena tarikh berkenaan tidak boleh dilakukan melainkan terdapat dalil yang sabit daripada baginda Nabi s.a.w. 

Allah Lebih Mengetahui - Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Berikut adalah doa yang dimaksudkan: 
Awal tahun "Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda serta sahabatnya. Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku melakukan larangan-Mu tetapi aku belum bertaubat sedangkan Engkau tidak reda dan melupai perkara itu. Engkau menangguhkan azab-Mu yang ditetapkan kepadaku. Engkau memerintahkan supaya aku bertaubat. Sesungguhnya pada hari ini aku memohon keampunan daripada Engkau, ampunilah aku. Dan apa yang aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redai dan Engkau janjikan pahala, maka aku memohonnya daripada Engkau, ya Allah yan Karim yan Zal Jalali Wal Ikram. Terimalah permohonanku ini dan janganlah Engkau hampakan harapanku terhadap-Mu ya Karim. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda juga sahabatnya. Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam". 

Akhir tahun "Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda dan sahabatnya. Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihan-Mu yang maha Agung dan kemurahan-Mu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun baru ini aku memohon daripada Engkau perlindungan daripada syaitan yang direjam, pengikutnya, tenteranya dan penolongnya dan aku emohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan aku dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diri kepada Engkau. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga baginda dan sahabatnya. Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam". 

Manakala berikut ini adalah fadhilat serta kaedah pembacaan yang sering kelihatan: 
Ibnu Abbas berkata: "Siapa yang membaca doa ini pada 1 Muharam, Allah mewakilkan dua malikat memeliharanya pada tahun itu". Selepas doa(awal tahun) dibaca, berkatalah syaitan, "Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku mengoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa itu, Allah mengampunkannya setahun". Selepas dibaca doa akhir tahun, syaitan berkata, "Telah amanahlah anak Adam ini daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah syaitan". 

Bacalah doa awal tahun berikut sebanyak tiga kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada hari terakhir bulan Zulhijah. Bacalah doa akhir tahun sebanyak tiga kali selepas waktu Maghrib pada malam 1 Muharam. 

Kami telah cuba untuk mencari serta menjejak kesemua fadhilat serta kaedah pembacaan di atas, namun sayangnya hasil pencarian kami tidak membuahkan sebarang hasil. Bukan hanya kitab-kitab hadis sittah, malahan kitab hadis dhaif dan palsu juga telah kami cuba mencarinya namun hasilnya serupa, hampa. Bukan di situ sahaja usaha kami, bahkan fatwa-fatwa dan sumber dari ulama-ulama luar negara selain nusantara telah kami selongkar, tapi juga tidak membuahkan hasil. Maka kami telah membuat kata putus bahawa semua fadhilat serta kaedah pembacaan yang dinyatakan di atas adalah batil dan tidak sabit pada nas al-Quran dan hadis sahih

Rasulullah saw telah bersabda dalam hadis sahih riwayat Imam Bukhari yang beerti: Barangsiapa yang beramal dengan sesuatu amalan yang tidak ada hubungan dengan urusan kita, maka ia tertolak.

Maka di sini telah jelas bahawa barangsiapa yang mengamalkan amalan awal Muharam(Doa Awal dan Akhir Tahun), beriqtikadkan bahawa ia mempunyai kelebihan sepertimana yang digambarkan, apatah lagi mengatakan amalan ini adalah sunnah Rasulullah saw, maka amalannya tertolak. 

Dan Rasulullah saw juga telah memberi amaran kepada mereka yang berdusta terhadap baginda saw dalam hadis sahih yang bermaksud: Barangsiapa yang melakukan pendustaan ke atasku dengan sengaja, maka sediakanlah tempat duduknya di dalam neraka. 

Hadis Mutawtir Ibnu Masud pernah berkata yang bermaksud: Hendaklah anda sekalian mengikuti apa saja yang dibawa oleh Rasulullah saw dan jangan anda mengada-adakan sesuatu yang baru. Sesungguhnya sudah cukup bagi anda sekalian(sunnah yang dibawa oleh Rasulullah saw)

Ibnu Abbas juga pernah berkata: Hendaklah anda sentiasa bertaqwa kepada Allah dan beristiqamah. Ikutilah(apa saja yang disunnahkan oleh Rasullah saw) dan janganlah anda mengada-adakan sesuatu yang baru. 

Kesimpulan 
Doa pada asal memang terdapat dalam Islam. Dalilnya cukup banyak. Baik di dalam Al-Quran maupun hadis-hadis sahih. Namun begitu, terdapat juga sesetengah pihak yang menyalahgunakan konsep berdoa itu yang sebenar. Mereka menciptakan waktu-waktu khas yang kononnya mustajab yang tidak sabit dari al-Quran dan hadis, mereka menciptakan fadhilat-fadhilat yang kononnya memberi ganjaran apabila dilakukannya dan bermacam-macam lagi. 

Kesan dari itu wujudlah sepertimana yang sedang kita bincangkan ini iaitu doa awal dan akhir tahun. Kami berpendapat adalah tidak salah untuk dibacakan doa-doa tersebut. Kerana berdoa memanglah digalakkan. Tetapi doa tersebut tidaklah seharusnya dijadikan satu amalan yang dilakukan hanya kerana datangnya tahun baru. Apatah lagi dikaitkan doa tersebut kononnya sabit dari Rasulullah saw. Juga mengatakan dengan membacanya maka akan diperolehlah fadhilat-fadhilat tertentu. Kerana kesemua riwayat yang berkaitan doa awal dan akhir tahun ini adalah batil. 

Ingatlah pada sebuah hadis yang masyhur yang bermaksud: Sesungguhnya benar-benar hadith(percakapan) itu ialah kitab Allah. Sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad saw. Manakala sejahat-jahat urusan itu ialah yang diada-adakan, kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bidah manakala setiap bidaah adalah sesat. Hadis riwayat Muslim Dalam hadis riwayat An-Nasai pula terdapat tambahan: .dan setiap kesesatan itu di dalam neraka. 

Doa tersebut boleh saja dibaca pada lain-lain waktu. Bukan dikhaskan hanya ada awal dan akhir tahun sahaja. Beginilah pendapat dan pegangan kami

Sekiranya terdapat sesiapa yang mungkin dapat mengutarakan dalil dari al-Quran dan hadis yang sahih berkaitan amalan ini haraplah berbuat demikian. Kerana sesungguhnya kami hanyalah hamba Allah yang lemah. 

Sekian. Wassalam - SUMBER

No comments:

Post a Comment

Artikel Menarik