Tuesday 5 November 2013

Fatwa Malaysia : ISU Sambutan Tahun Baru Hijrah Dan Keistimewaan Bulan Muharram

PENJELASAN: Amalan yang biasa dilakukan sempena menyambut bulan Muharram ialah bacaan doa akhir tahun dan doa awal tahun. Walaupun terdapat beberapa pandangan tentang bacaan doa ini, namun selagi ia merupakan doa yang tidak bercanggah dengan Al-Quran dan Al-Sunnah, maka ianya baik untuk umat Islam dan boleh diamalkan tanpa halangan. Begitu juga dengan sambutan Mawlid Rasul, Nuzul-Quran serta sambutan lain yang tidak disebutkan secara khusus dalam Al-Quran dan Al-Hadith.

Namun, apakah hanya sekadar berdoa sahaja yang perlu dilakukan untuk mengiringi kedatangan Muharram? Apakah kelebihan yang terdapat dalam bulan Muharram?

Bulan Muharram merupakan salah satu dari bulan-bulan 'Haram' di dalam Islam. Firman Allah swt dalam Surah Al-Taubah ayat 9 bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul dan lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa."

Menurut Tafsir Al-Jalalayn, yang dimaksudkan dengan "di antaranya empat bulan yang dihormati" ialah: Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Allah swt telah mengurniakan kepada manusia empat bulan haram. Umat Islam diharamkan pergi berperang dalam bulan-bulan ini, kecualilah jika mereka diperangi. 

Manakala Hadith Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Abu Bakrah pula bermaksud:”Satu tahun itu ada dua belas bulan, di antaranya ada empat bulan yang dihormati , tiga bulan berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijah, dan Muharram, satu lagi Rejab berada antara bulan Jamadilakhir dan Syaaban.”

Antara kemulian bulan-bulan haram ini ialah disunatkan berpuasa. Daripada Abu Hurairah dalam Hadith marfu' telah berkata: Nabi ditanya: Apakah solat yang lebih afdhal selepas solat fardhu? dan apakah puasa yang lebih afdhal selepas bulan Ramadhan? Maka jawab Nabi: Sebaik-baik solat selepas solat yang telah difardhukan ialah solat pada pertengahan malam dan sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadhan adalah puasa pada bulan-bulan Allah (bulan-bulan haram). Hadith diriwayatkan oleh Imam Muslim, Abu Daud, Al-Tirmizi, Al-Nasai'e dan Ibn Majah.

Di samping itu, disunatkan juga kepada umat Islam untuk berpuasa pada 9 dan 10 Muharram. Ini kerana tarikh 10 Muharram (atau dinamakan hari ‘Asyura yang bermaksud sepuluh) mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri. Manakala disunatkan juga berpuasa pada 9 Muharram sebagai mukhalafah (membezakan) di antara kaum Yahudi yang turut berpuasa pada 10 Muharram. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas katanya: Sewaktu Rasulullah tiba di Madinah, Baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Ketika ditanya tentang puasa itu, mereka menjawab: Hari ini adalah hari kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa dan kaum Bani Israel dari Firaun. Kami merasa perlu untuk berpuasa pada hari ini sebagai suatu pengagungan kami padanya. Lalu Rasulullah bersabda: Kami lebih berhak daripada kamu terhadap Nabi Musa dalam hal ini. Kemudian Baginda memerintahkan para Sahabat supaya berpuasa pada hari tersebut. – Hadith diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibn Majah dan Al-Tirmizi. 

Dalam Hadith yang lain, Ibn Abbas berkata: Apabila Rasulullah berpuasa pada hari ‘Asyura dan memerintahkan para sahabat berpuasa padanya, mereka berkata: Wahai Rasulullah, ini ialah hari yang dimuliakan oleh Yahudi dan Nasrani. Maka Rasulullah berkata, “Pada tahun hadapan – Insya Allah- kita berpuasa pada hari kesembilan.” Maka tidak tibanya tahun hadapan itu sehingga wafatlah Rasulullah– Diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud.

Mungkin timbul persoalan, mengapakah Nabi mencontohi kaum Yahudi berpuasa pada 10 Muharram padahal Baginda sendiri melarangnya di dalam sabdanya yang bermaksud: “Berbezalah kamu dengan Yahudi serta Nasrani… berbezalah dengan Musyrikin”? Sebenarnya amalan berpuasa pada hari Asyura' (10 Muharram) telah dilaksanakan oleh Rasulullah sebelum Baginda berhijrah ke Madinah lagi. Ini berdasarkan Hadith yang dinyatakan oleh Saidatina Aisyah yang bermaksud: 'Sesungguhnya hari ‘Asyura merupakan hari yang berpuasa padanya kaum Quraisy di zaman Jahiliyyah. Rasulullah juga berpuasa padanya. Apabila Baginda memasuki Madinah, Baginda terus berpuasa dan memerintahkan manusia berpuasa. Apabila diwajibkan puasa Ramadhan, Baginda bersabda, “Sesiapa yang ingin berpuasa, teruskan, Sesiapa yang ingin meninggalkan (juga dibolehkan)'. – Muttafaq ‘Alaih.

Di samping melaksanakan ibadah puasa sunat ini, sesuatu yang sewajarnya dijadikan pengiktibaran pada peristiwa yang berlaku pada 10 Muharram ialah Allah menenggelamkan Firaun ke dalam laut akibat keengkaran dan keangkuhannya. Firman Allah dalam Surah Yunus, ayat 90 bermaksud: Dan Kami bawakan Bani Israel ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): "Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israel, dan aku adalah dari orang yang berserah diri (menurut perintah)"

Peristiwa lain yang dikatakan berlaku pada 10 Muharram ialah mendaratnya kapal Nabi Nuh di atas bukit Judiy sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas. Nabi Nuh kemudiannya berpuasa pada hari tersebut sebagai tanda kesyukuran kepada Allah.

Selain itu, bagaimana pula dengan program membuat bubur ‘Asyura yang sering diadakan oleh masyarakat Melayu? Perlulah dijelaskan bahawa program membuat bubur tersebut tidak lebih dari program gotong-royong dan jamuan makan yang sememangnya digalakkan di dalam Islam. Di samping melaksanakan ibadah puasa sunat pada bulan Muharram, sesuatu yang amat penting untuk diingati dan dihayati ialah peristiwa hijrah Nabi Muhammad. Justeru, tidak hairanlah apabila Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan peristiwa hijrahnya Nabi Muhammad dengan sahabat-sahabatnya dari kota Mekah ke Madinah sejauh kira-kira 450 km itu sebagai tahun pertama dalam Islam yang dinamakan dengan tahun Hijrah.

Penggunaan Takwim Hijrah yang digunakan pada masa sekarang telah bermula pada tahun ke 17 Hijrah, iaitu pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab. Penetapan permulaan tarikh bagi Takwim Hijriyah ini, diambil sempena peristiwa penghijrahan Rasulullah yang bermula pada tanggal 2 Rabiulawal bersamaan 14 September 622 Masihi. Baginda sampai di Quba' pada tanggal 8 Rabiulawal bersamaan 20 September 622 Masihi pada hari Isnin.

Peristiwa hijrah perlu dikenang oleh umat Islam setiap tahun apatah lagi ketika menyambut sambutan awal Muharram, untuk menjadi pengajaran dan peringatan tentang pengorbanan Rasulullah saw dan sahabat-sahabat Baginda menegakkan Islam. Mudah-mudahan dengan sambutan ini dapat menimbulkan kesedaran di kalangan umat Islam bahawa kemuliaan Islam dan kewujudan negara Islam yang berdaulat bukanlah diperoleh dengan mudah. Sebaliknya ia telah melalui perjuangan yang gigih dan pengorbanan yang tinggi. Sesungguhnya sifat pengorbanan yang dimiliki dan diperlihatkan oleh Rasulullah saw dan umat Islam pada zaman Baginda merupakan bukti kesungguhan dan kecintaan mereka yang mendalam terhadap akidah Islam dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi terhadap perintah Allah swt. Sifat seperti inilah yang sepatutnya ada dan diikuti oleh generasi umat Islam hari ini.

Oleh yang demikian, apakah yang harus dilakukan oleh umat Islam ketika menyambut tahun baru hijrah ini? Adakah sudah memadai ia disambut dengan hanya mengirimkan ucapan selamat tahun baru, melalui sms atau email? Sambutan awal Muharram dan tahun baru hijrah ini hendaklah diikuti dengan usaha melakukan perubahan pada diri dan masyarakat dengan memperkukuhkan pegangan akidah dan syariah, akhlak dan jati diri serta pembangunan sosioekonomi negara dan ummah agar isu-isu kecelaruan akidah dan keruntuhan akhlak serta kemiskinan hidup umat Islam dapat dihapuskan dan Islam sebagai agama yang mulia dan tinggi dapat didaulatkan dan diletakkan di tempat yang sewajarnya.

Sehubungan itu, tiada larangan kepada umat Islam untuk menyambut Tahun Baru Hijrah yang dilihat amat penting dan signifikan kepada umat Islam agar kecemerlangan dan kegemilangan Islam dapat dihayati dan dikembalikan kepada umat di zaman ini. - SUMBER

No comments:

Post a Comment

Artikel Menarik