Saturday 2 November 2013

Taklid

Kata tokoh fekah semasa yang terkenal al-Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili: 
“Kata majoriti ulama: Tidak wajib bertaklid kepada imam tertentu dalam semua masalah atau kejadian yang berlaku. Bahkan harus untuk seseorang bertaklid kepada mana-mana mujtahid yang dia mahu. Jika dia beriltizam dengan mazhab tertentu, seperti mazhab Abu Hanifah, atau al-Syafi’i atau selainnya, maka tidak wajib dia berterusan. Bahkan boleh untuk dia berpindah-pindah mazhab. Ini kerana tiada yang wajib melainkan apa yang diwajibkan Allah dan RasulNya. Allah dan RasulNya tidak pula mewajibkan seseorang bermazhab dengan mazhab imam tertentu. Hanya yang ALLAH wajibkan ialah mengikut ulama, tanpa dihadkan hanya tokoh tertentu, dan bukan yang lain. 


Firman Allah:(maksudnya): Maka bertanyalah kamu kepada ahli ilmuwan jika kamu tidak mengetahui (an-Nahl:43)

Ini kerana mereka yang bertanya fatwa pada zaman sahabah dan tabi’in tidak terikat dengan mazhab tertentu. Bahkan mereka bertanyakan sesiapa sahaja yang mampu tanpa terikat dengan hanya seorang sahaja. Maka ini adalah ijmak (kesepakatan) dari mereka bahawa tidak wajib mengikut hanya seseorang imam, atau mengikut mazhab tertentu dalam semua masalah. 

Kemudian, pendapat yang mewajibkan beriltizam dengan mazhab tertentu membawa kepada kesusahan dan kesempitan, sedangkan mazhab adalah nikmat, kelebihan dan rahmat. Inilah pendapat yang paling kukuh di sisi ulama Usul al-Fiqh… 

Maka jelas dari pendapat ini, bahawa yang paling sahih dan kukuh di sisi Ulama Usul al-Fiqh adalah tidak wajib beriltizam dengan mazhab tertentu. Harus menyanggahi imam mazhab yang dipegang dan mengambil pendapat imam yang lain. Ini kerana beriltizam dengan mazhab bukan suatu kewajipan –seperti yang dijelaskan-. 

Berdasarkan ini, maka pada asasnya tidak menjadi halangan sama sekali pada zaman ini untuk memilih hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh mazhab-mazhab yang berbeza tanpa terikat dengan keseluruhan mazhab atau pendetilannya” 

(Al-Zuhaili, Dr Wahbah, al-Rukhas al-Syar’iyyah, m.s. 17-19, Beirut: Dar al-Khair).

No comments:

Post a Comment

Artikel Menarik